170 peserta hayati program Smart Solat
by sahaini ahmad safian on Aug.02, 2009, under Artikel
Sumber : Sinar Harian, 30 Julai 2009, (m/s: S10)
Ditulis : Norshahzura Mat Zuki (0196689270 / 0193371066)
Shah Alam – Surau Nurul Iman, Kampung Padang Jawa dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menganjurkan program Smart Solat di surau itu, di sini sebagai usaha mendidik masyarakat memahami dan mengerjakan solat sebagaimana disyariatkan.
Pengerusi Surau Nurul Iman, Abdul Rahman Jalil berkata, program yang pertama kali diadakan itu disertai seramai 170 peserta melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja dari kampung itu.
Katanya, program yang dikendalikan Perunding Motivasi, Zaid Hamzah itu telah memberikan pendedahan secara teori dan praktikal kepada peserta serta bengkel perbincangan untuk memberikan lebih kefahaman kepada semua peserta.
“Peserta didedahkan dengan pelbagai perkara berkaitan solat antaranya termasuklah cara-cara melakukan solat dengan betul mengikut bacaan-bacan dan cara mengambil wuduk serta bacaan doa.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan menunjukkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan solat kepada anak-anak mereka dalam menjalani kehidupan seharian kerana solat dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran,” katanya.
Menurutnya, program itu diharapkan dapat membantu peserta menunaikan solat dan bacaaan yang betul serta mendidik mereka untuk bertanggungjawab dalam mengerjakannya kerana ia adalah kewajipan bagi setiap Muslim.
“Saya berharap peserta mendapat manfaat mengikuti program ini dan mendirikan solat kerana ia sebagai benteng kepada diri mereka daripada terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah seperti masalah sosial yang berlaku di kawasan Padang Jawa,” katanya.
Program ini dirasmikan Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Naim Jusri dan mengharapkan pihak surau dapat memperbanyakkan program keagamaan bagi memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Padang Jawa, Abdul Aziz Barhan dan wakil Jais, Khusrin Nayan.